Bekas ADUN Lanchang dilantik speaker DUN Pahang

Bekas ADUN Lanchang dilantik speaker DUN Pahang

Usul melantik Mohd Sharkar Shamsudin dikemukakan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong Exco Mohd Soffi Abd Razak dengan tiada bantahan daripada ahli Dewan.

Mohd Sharkar Shamsudin, anak jati Temerloh, merupakan ADUN BN Lanchang selama lima penggal sejak 1999, namun tewas pada PRU15 bulan lepas. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Bekas ADUN Lanchang Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai speaker DUN Pahang berkuat kuasa hari ini, pada sidang penggal pertama DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.

Usul melantik Sharkar dikemukakan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Mohd Soffi Abd Razak dengan tiada bantahan daripada ahli Dewan.

Beliau menggantikan Ishak Muhamad yang menjawat jawatan itu sejak 2013.

Sharkar, anak jati Temerloh, merupakan ADUN Lanchang daripada Barisan Nasional (BN) selama lima penggal sejak 1999, namun tewas pada PRU15 bulan lepas.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang, antaranya mempengerusikan Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi, serta Jawatankuasa Pelancongan Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada sidang itu, Sharkar juga dilantik sebagai ahli tambahan DUN Pahang. Pada November 2020, persidangan DUN Pahang meluluskan pindaan Perkara 18 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi mewujudkan ADUN lantikan.

Sementara itu, ADUN Bilut Lee Chin Chen daripada Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai timbalan speaker selepas namanya dicalonkan oleh Wan Rosdy dan sekali lagi disokong oleh Soffi.

Lee, ketua pembangkang negeri pada penggal lepas, mula menjadi ADUN di Pahang pada 2013 selepas memenangi kerusi DUN Ketari pada PRU13 sebelum bertukar ke DUN Bilut pada 2018.

Sidang hari ini juga menyaksikan semua 42 ADUN Pahang mengangkat sumpah jawatan, didahului Wan Rosdy disusuli 10 Exco dan ADUN lain, termasuk Ketua Pembangkang Tuan Ibrahim Tuan Man, ADUN Cheka.

Kerajaan Pahang dibentuk menerusi kerjasama antara BN dan PH selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri pada PRU15.

Pada pilihan raya itu, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi, manakala PH menang lapan kerusi.

Menerusi kerjasama itu, Wan Rosdy mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar pada 28 Nov lepas, disusuli 10 Exco pada 2 Dis, melibatkan lapan ADUN BN dan bakinya daripada PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.