Banjir semakin pulih, tinggal 1 PPS dibuka di Terengganu

Banjir semakin pulih, tinggal 1 PPS dibuka di Terengganu

Semua mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Kampung La dijangka berada di sana untuk tempoh yang lama berikutan kebanyakan rumah mereka rosak sepenuhnya.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Masjid Kampung La, Besut, Terengganu, kekal seperti semalam, iaitu 53 orang daripada 12 keluarga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir yang melanda beberapa negeri sejak akhir bulan lepas semakin pulih dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Terengganu setakat pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 53 orang daripada 12 keluarga masih berada di PPS Masjid Kampung La di Besut, seperti semalam.

Semua mangsa dijangka berada di PPS itu untuk tempoh yang lama berikutan kebanyakan rumah mereka rosak sepenuhnya akibat dihanyutkan arus banjir.

Sementara itu, jumlah penduduk di Sabah yang terkesan dengan fenomena air pasang besar dan ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2, Sandakan berkurang kepada 652 orang daripada 113 keluarga pagi ini, berbanding 688 orang daripada 121 keluarga malam tadi.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini menasihatkan penduduk di negeri Pantai Timur agar kekal berwaspada walaupun situasi semakin pulih, berikutan hujan lebat berterusan masih berpotensi berlaku ekoran Monsun Timur Laut yang akan berlarutan hingga Mac 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.