
Timbalan Pengarah Human Rights Watch Phil Robertson berkata, tidak dapat diterima bahawa kerajaan sendiri tidak jelas mengenai nasib Syed Fawad Ali Shah.
Fawad, yang memegang kad pelarian UNHCR, berada di negara ini sejak 2011 selepas dikenakan tindakan atas tulisan yang kritikal terhadap kerajaan Pakistan. Beliau hilang sejak Ogos. Bagaimanapun, pihak polis dan imigresen belum memberikan maklum balas kepada FMT berhubung perkara itu.
“Sehingga pihak berkuasa Malaysia berterus terang tentang apa yang mereka lakukan dan tidak lakukan, anggapan Malaysia terlibat dalam kehilangan paksa (Fawad) tidak boleh ditolak,” katanya kepada FMT.

“Sebagai orang yang dilindungi UNHCR, beliau sepatutnya dilindungi dan jelas sekali pihak berkuasa Malaysia gagal berbuat demikian. Tidak munasabah dan tidak dapat diterima pihak berkuasa tidak memberikan jawapan jelas.”
Beliau berkata, jika pihak berkuasa dapat menunjukkan memang benar Fawad tidak ditahan, perlu dilaksanakan siasatan segera untuk menjejakinya, termasuk kemungkinan Pakistan mempunyai hubung kait dengan kehilangannya.
“Pakistan sememangnya terkenal menghukum wartawan yang bersifat kritikal, jadi kesnya perlu diberi tumpuan untuk menjamin haknya dilindungi,” katanya.
Sementara itu, Wathshlah Naidu daripada Centre for Independent Journalism berkata, status pelarian dipegang Fawad bermaksud beliau berdepan risiko diserang di negara asalnya.
“Dengan menghantar (Fawad) pulang, Malaysia berkemungkinan menghantarnya kembali ke negara yang akan menghukumnya atas kegiatannya yang sah sebagai wartawan,” katanya.
“Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB, gagal lagi untuk menegakkan undang-undang adat antarabangsa berhubung ‘non-refoulement’.”

Naidu berkata, perlindungan antarabangsa mesti diberikan kepada mereka yang berdepan ancaman hukuman atau kemungkinan seksaan, kehilangan paksa, malah kematian.
“Wartawan yang melaporkan mengenai perkara yang bersifat kritikal terhadap kerajaan mereka selalu menjadi sasaran dan ditindas, termasuk menerusi penggunaan undang-undang yang menjenayahkan ekspresi dan ucapan,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur berkata, pelarian dan peminta suaka tidak boleh dipulangkan ke negara asal mereka.
Katanya, pihaknya tidak dapat menyiasat kem tahanan untuk mengenal pasti mereka yang memegang status pelarian atau peminta suaka bagi menghalang penghantaran pulang.
“Mengambil kira perkembangan terbaru berhubung penghantaran pulang, timbul kebimbangan besar bahawa masih terdapat beberapa individu ditahan, termasuk individu yang sangat terdedah, yang mana status pelarian mereka tidak dapat disahkan dan memerlukan perhatian kami.
“UNHCR belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa imigresen untuk mendapatkan akses kepada pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019 walaupun dengan advokasi berterusan daripada pihak kami dan lain-lain,” katanya.