
Menurut Syeda, isteri kepada Syed Fawad Ali Shah, perkara ini dimaklumkan kepadanya oleh pihak berkuasa imigresen Malaysia.
Syeda menerima berita “mengejutkan” ini ketika bertemu dengan pegawai imigresen di Putrajaya pada Selasa.
Fawad, 41, yang memegang kad pelarian UNHCR, mendapatkan suaka daripada agensi itu atas dakwaan mengalami penganiayaan di Pakistan atas artikelnya dalam beberapa akhbar harian Inggeris mengenai rasuah dalam kerajaan.
Beliau dilaporkan hilang sejak Ogos, dan Syeda berada di Kuala Lumpur untuk mencarinya.
“Mereka (pihak berkuasa imigresen) beritahu saya Pakistan mahukan (Fawad) kembali dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini membuat dokumen untuk membantu penghantaran pulangnya.
“Saya juga diberitahu agar tidak membuang masa di sini (Malaysia) dan diminta pulang,” kata Syeda kepada FMT.
Apabila pergi ke suruhanjaya tinggi di Kuala Lumpur, Syeda diberitahu suruhanjaya tersebut tidak mempunyai maklumat tentang suaminya dan ia tidak dapat mengendalikan kes sedemikian kerana suaminya seorang pelarian.
“Saya benar-benar tak tahu apa nak dilakukan. Boleh sesiapa bantu saya dan beritahu jenayah apa dilakukan suami saya sehingga dia dihantar pulang?”
FMT telah menghubungi polis, pihak berkuasa imigresen dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan untuk mendapatkan komen.
Fawad datang ke Malaysia pada 2011 melalui Thailand dan kemudiannya diberi status pelarian UNHCR.
Masalahnya bermula pada 2008 apabila beliau memutuskan untuk menyiasat kes orang hilang.
Menerusi siasatannya, beliau percaya pihak berkuasa Pakistan terlibat dalam kes-kes kehilangan ini, kebanyakannya berdepan berbagai-bagai tuduhan, antaranya mengintip untuk Amerika Syarikat dan India, dan bekerja untuk Taliban.
Pada 2010, beliau ditahan selama 18 hari dan disoal siasat oleh pegawai dikatakan perisik Pakistan.
Fawad kemudian dibebaskan dengan amaran agar berhenti menulis tentang orang hilang dan berhenti daripada bidang kewartawanan.