Sindiket dadah tumpas, polis rampas syabu lebih RM11 juta

Sindiket dadah tumpas, polis rampas syabu lebih RM11 juta

Syabu seberat 320kg itu dirampas pada serbuan di Setiawangsa Sabtu lepas.

Serbuan di sebuah rumah teres Sabtu lepas, dipercayai menjadi stor simpanan dadah, membabitkan rampasan terbesar oleh polis Kuala Lumpur tahun ini, kata Timbalan Ketua Polis KL Yahaya Othman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta dalam satu serbuan di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak September lepas itu dikesan menjadikan sebuah rumah teres sebagai stor simpanannya sebelum digempur dalam Op Lambkin melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan IPK Kuala Lumpur.

Katanya, polis menemui 13 guni yang diisi dengan 310 bungkusan teh cina berwarna kuning keemasan dan hijau.

“Bungkusan teh cina itu digunakan untuk memuatkan dadah yang disyaki jenis syabu,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, menurut Berita Harian.

Polis turut menyita sebuah Toyota Vios yang dianggarkan bernilai RM20,800, tambahnya,

Yahaya berkata, polis menahan lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual kereta, susulan serbuan itu.

Lelaki terbabit dikesan mempunyai satu rekod kes dadah dan dua kes curi, dan keputusan ujian air kencingnya positif dadah.

Seorang lagi suspek berusia 34 tahun, seorang jurujual dalam talian yang mempunyai satu rekod kes dadah, didapati negatif ujian kencing.

Kedua-duanya direman tujuh hari bermula 25 sehingga 31 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Yahaya, serbuan ini membabitkan rampasan terbesar yang dilakukan polis Kuala Lumpur tahun ini.

Beliau menyeru agar orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti berkaitan dadah melalui talian penting Polis Kuala Lumpur di 03-2115999, serta menerusi WhatsApp kepada JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.