Kuil setuju bina laluan sementara untuk pengguna kerusi roda

Kuil setuju bina laluan sementara untuk pengguna kerusi roda

Laluan sementara itu akan dibina dalam tempoh 2 minggu, menurut NGO Malaysia Hindhudharma Maamandram.

Tangkap layar video yang menunjukkan pengerusi kuil tidak membenarkan pengguna kerusi roda masuk ke kawasan sembahyang.
PETALING JAYA:
Sebuah kuil di sini bersetuju membina laluan sementara bagi pengguna kerusi roda untuk masuk ke kawasan sembahyang selepas pengurusannya dikecam kerana tidak membenarkan penganut berkerusi roda berbuat demikian.

NGO Malaysia Hindhudharma Maamandram berkata, pihak pengurusan kuil telah berjanji untuk membina laluan sementara dalam masa dua minggu.

Presidennya, Radhakrishnan Alagamalai berkata, pegawainya bertemu pengerusi kuil pada Isnin dan diberitahu bahawa beliau tegas dalam keputusannya untuk tidak membenarkan kerusi roda masuk ke dalam kuil.

Pengerusi kuil itu berkata, beliau akan membenarkan penganut berkerusi roda bersembahyang dari luar kuil.

“Kami tidak dapat menerima keputusannya dan kononnya dasar kuil itu,” kata Radhakrishnan dalam kenyataan.

“Kami telah meminta pihak pengurusan kuil membina laluan sementara untuk membenarkan (pengguna) kerusi roda masuk untuk sembahyang.”

Dalam video yang dimuat naik di media sosial pada Ahad, seorang wanita didengar bersemuka dengan pihak pengurusan kuil selepas mereka tidak membenarkan abang iparnya yang berkerusi roda memasuki kawasan sembahyang.

Radhakrishnan menggesa semua kuil supaya mematuhi peruntukan bawah Seksyen 34A Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan piawaian untuk reka bentuk dan kebolehcapaian sejagat bagi memastikan semua kemudahan dapat diakses orang kurang upaya (OKU).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.