Ibu kanak-kanak maut didera terduduk, menangis lihat jenazah

Ibu kanak-kanak maut didera terduduk, menangis lihat jenazah

Wanita itu yang sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang akibat kesalahan dadah, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail jam 2.15 petang tadi dengan diiringi dua pegawai penjara.

Jenazah kanak-kanak lelaki empat tahun dipercayai didera dibawa keluar oleh datuk saudaranya Ruslan Ahmad (kiri), 47, dari bilik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk dikebumikan di tanah Perkuburan Sungai Gatom hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut didera tidak dapat menahan sebak ketika diberi peluang menatap wajah anak bongsunya buat kali terakhir, sebelum jenazah dikebumikan hari ini.

Wanita berusia 39 tahun yang merupakan tahanan di Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor Baru hanya diberi peluang kira-kira lima minit melihat jenazah anaknya buat kali terakhir.

Wanita itu yang hadir berpakaian tahanan berwarna ungu dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara selepas selesai anaknya dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI).

Ibu kepada 11 anak itu hanya diberitahu mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu sebaik tiba di bilik mayat kerana ingin mengawal emosi ibu terbabit sepanjang dalam perjalanan dari penjara.

Sementara itu, datuk saudara kepada kanak-kanak itu, Ruslan Ahmad, 47, berkata dia tidak menyalahkan ibu mangsa sebaliknya terkilan kerana kanak-kanak terbabit tidak diserahkan semula kepadanya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila wanita itu ditahan semula pada September lalu.

“Saya betul-betul terkilan. Kalau saya tahu perkara ini nak berlaku, memang saya ‘simpan’ dia, tak mahu serah pada ibunya.

“Ketika itu, saya diberitahu ibu arwah sudah pulih, sudah dilepaskan (daripada tahanan) dan dia mohon nak jaga anak dia, saya dan JKM berbincang beri dia peluang,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang mana ibu bapanya sedang menjalani hukuman penjara maut dipercayai didera lima individu, dalam kejadian di Senggarang, Batu Pahat.

Pada malam Sabtu susulan menerima laporan dari seorang lelaki berusia 23 tahun. Pengadu memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan, pada 6.45 petang, pada Jumaat.

Siasatan awal polis mendapati kematian kanak-kanak itu adalah dipercayai akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

Lima suspek ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami serta tiga rakan kepada wanita berkenaan, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.