Sukarelawan tsunami Aceh imbau pengalaman tabur bakti

Sukarelawan tsunami Aceh imbau pengalaman tabur bakti

Harjit Singh berkata perjalanannya ke sana berdepan ranjau untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan kepada mangsa terselamat.

Harjit Singh menunjukkan salinan laporan berita mengenai misi kemanusiaan ke Aceh.
GEORGE TOWN:
Masih tergambar di ingatan Harjit Singh betapa menakutkan pengalaman dilaluinya ketika menyertai misi kemanusiaan ke Aceh yang dilanda tsunami atau lebih dikenali sebagai ‘Boxing Day Tsunami’, 18 tahun lalu.

Jurulatih hoki yang juga tenaga pengajar lumba bot naga itu dan ahli misi lain masih teringat saat dipukul ombak besar ketika menaiki tongkang dari Paro, sebuah perkampungan di Aceh ke Banda Aceh.

“Ombak yang melanda kami sangat besar sehingga tongkang dinaiki melambung dan jatuh beberapa kali seolah-olah ia akan merobek bot kami. Ada sukarelawan cukup takut, lebih buruk hanya tiga daripada kami sahaja yang boleh berenang.

“Kami berisiko lemas walaupun mampu berenang. Tapi, kapten beritahu jangan bimbang,” katanya.

Harjit merupakan sebahagian 30 kumpulan sukarelawan dari pasukan bantuan kemanusiaan, Global Sikhs, yang berlayar ke Aceh dari Langkawi, menggunakan dua kapal layar. Misi itu bukan bagi mereka yang mudah patah semangat kerana berdepan risiko mati akibat lemas atau diserang penyakit dengan sukarelawan menandatangani borang indemniti.

Mereka melakukan perjalanan ke wilayah separa autonomi Indonesia itu bersama pelayar berpangkalan di Langkawi, “The Waves of Mercy” dan kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat, United Sikhs.

Kapal layar itu membawa bekalan makanan dan perubatan bagi mangsa tsunami terselamat yang diderma orang awam dan Buddhist Maha Vihara. Perjalanan berkenaan sebenarnya berbahaya susulan kawasan pesisir wilayah terbabit sering diawasi kumpulan pemberontak, Gerakan Aceh Merdeka.

Harjit berkata, kapal layar itu berlayar dengan lampu malap demi mengelak diserang pemberontak. Di Paro, mereka menemui sejumlah mayat bergelimpangan. Kru mengagihkan bekalan makanan dan perubatan kepada mangsa terselamat, membaiki jalan rosak dan memindahkan mayat ke kawasan pengebumian.

“Penduduk kampung enggan menguruskan mayat kerana takut kepada ‘roh’. Jadi, kami yang melakukan tugas itu,” katanya.

Dalam satu kes, ada mayat tidak boleh dikeluarkan susulan berada dalam runtuhan, sekali gus mereka tidak mempunyai pilihan selain membakar runtuhan itu.

Misi kemanusiaan berlangsung selama dua minggu dan kemudian digantikan dengan kumpulan baru. Harjit dan rakannya lain kembali ke Malaysia menggunakan pesawat Hercules milik tentera udara.

Kapal layar terbabit berterusan menyambung bantuan kepada Aceh untuk enam bulan seterusnya.

Harjit berkata, pengajaran hidup penting yang dilaluinya adalah sentiasa berbuat baik kepada semua orang kerana “hidup ini sukar dijangka”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.