
Peguam Anwar, J Leela berkata tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mazuliana Abdul Rashid hari ini.
Peguam Azureen Ibrahim mewakili peguam Khairul Azam Abdul Aziz.
Dalam kes sivil, perayu mesti terlebih dahulu memperoleh kebenaran sebelum mahkamah persekutuan meneruskan untuk mendengar merit perayu.
Pada 21 Sept tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh Anwar yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson dan Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur untuk membatalkan saman yang difailkan ke atas mereka oleh Khairul.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat bersama Sofian Abdul Razak dan Lee Heng Cheong memutuskan Khairul tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.
Katanya dakwaan perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.
Tambahnya, keputusan dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak dapat diadili.
Anwar dan Lembaga Pengampunan pada 21 Sept 2020 gagal dalam usaha mereka untuk membatalkan saman itu di Mahkamah Tinggi.
Khairul memfailkan saman pemula itu pada 26 Feb 2020, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai responden, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Dakwanya, pada ketika itu, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU14, pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.
Anwar telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.