Kenapa pindah pusat sehenti pekerja asing bawah KDN, pihak berkepentingan persoal kerajaan

Kenapa pindah pusat sehenti pekerja asing bawah KDN, pihak berkepentingan persoal kerajaan

Perubahan ini akan menyebabkan gangguan lagi kepada pasaran buruh yang sudah pun mencabar, kata pihak berkepentingan.

Majikan kecewa dengan tindakan yang dilihat mereka akan menambah kerenah birokrasi dalam proses mendapatkan pekerja asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkepentingan mengeluh tentang keputusan kerajaan untuk sekali lagi meletakkan pusat sehenti bagi pengambilan pekerja asing bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan ini dibuat hampir enam bulan selepas kerajaan terdahulu pimpinan Ismail Sabri Yaakob meletakkan pusat sehenti tersebut bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), langkah yang dipuji oleh pihak berkepentingan kerana menjimatkan kos dan masa dalam mengambil dan mengurus pekerja asing.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia Christina Tee berkata, meletakkan pusat sehenti bawah KSM mengurangkan birokrasi dan menjamin kecekapan dalam menangani isu kekurangan buruh.

“Walaupun mengalami gangguan di peringkat awal, pusat sehenti bawah KSM diterima baik oleh industri,” kata Tee kepada FMT.

“Sebarang perubahan kepada inisiatif ini akan menyebabkan gangguan lagi kepada pasaran buruh yang sudah pun mencabar.”

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) turut mempersoalkan keputusan itu, yang diumumkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar Rabu lepas.

“Mengapa perubahan ini dibuat? Lebih cekap untuk meletakkan pusat sehenti pekerja asing bawah KSM seperti yang dipersetujui sebelum ini,” kata presidennya, Syed Hussain Syed Husman.

Sebelum ini, MEF memuji langkah meletakkan pusat sehenti bawah KSM kerana ia menghapuskan penglibatan merentas kementerian.

Sementara itu, penasihat Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Ameer Ali Mydin berkata, penting agar proses permohonan berjalan lancar dan pantas, tanpa masalah birokrasi.

“Tidak kira perkara itu berada bawah kementerian mana, kami mahu kerajaan memastikan proses itu telus dan tiada rasuah terlibat,” katanya.

Ameer, juga pengarah urusan pasar raya besar Mydin, berharap pusat sehenti itu mencapai fungsinya, tanpa pemohon perlu berulang alik antara kementerian yang berbeza.

“Maksud pusat sehenti harus jelas – ia sepatutnya menjadi satu hentian, bukannya dua.”

Bagi memastikan kelulusan lebih cepat, Ameer mencadangkan syarikat yang mempunyai rekod mengambil pekerja asing bekerja diberi kelulusan automatik tanpa perlu memohon dari mula.

“Dengan pelarasan kecil ini, sekurang-kurangnya majoriti kelulusan akan menjadi automatik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar kelulusan tidak diberikan kepada syarikat penyumberan luar.

“Syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan daripada penyumberan luar pekerja asing. Keutamaan harus diberikan kepada pemohon yang memerlukan pekerja. Itu termasuk peniaga kecil dan penjaja,” kata Ameer.

Terdahulu, Persekutuan Pekilang Malaysia membidas kerajaan kerana berpatah balik dalam dasar berhubung penempatan pusat sehenti untuk pengambilan pekerja asing.

Presidennya, Soh Thian Lai berkata, langkah berbolak-balik dalam dasar itu akan mengekang pemulihan perniagaan dan ekonomi “kerana akan ada penentukuran semula dasar dan sistem oleh KDN selepas ia mengambil alih pengurusan pekerja asing”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.