Air pasang besar Sandakan: Penduduk pesisir pantai diminta kosongkan rumah

Air pasang besar Sandakan: Penduduk pesisir pantai diminta kosongkan rumah

Fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi dijangka akan melanda sekali lagi malam ini dan malam esok.

Kejadian air pasang besar yang berlaku sejak kira-kira 10 malam tadi menjejaskan lebih 300 penduduk di Kampung Forest, Sandakan. (Gambar Bernama)
SANDAKAN:
Penduduk di pesisir pantai di sini dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing sebelum 6 petang ini kerana fenomena air pasang besar dijangka akan berlaku sekali lagi malam ini dan malam esok.

Ketua Polis Sandakan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, Jabatan Meteorologi juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di kawasan sekitar sini hingga esok.

“Saya telah meninjau beberapa tempat yang berisiko dan menasihatkan penduduk supaya berpindah ke rumah saudara mara atau ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Sungai Anib 2 di sini hari ini.

Kira-kira 100 rumah di Kampung Forest di sini rosak akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak kira-kira 10 malam tadi, menjejaskan lebih 300 penduduk. Kebanyakan mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.

Selain Kampung Forest, Abdul Fuad berkata, Kampung Tinusa 2 dekat sini juga mengalami air pasang dan ombak kuat malam tadi, namun tidak melibatkan kerosakan rumah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata, beliau akan berjumpa dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi meminta unit Program Perumahan Rakyat (PPR) yang kosong untuk digunakan sebagai tempat tinggal sementara bagi mangsa berkenaan.

“Mangsa tidak ada tempat tinggal dan PPS bukan solusi jangka masa panjang. Saya difahamkan ada rumah PPR yang belum didiami boleh digunakan sementara mangsa mencari rumah lain,” katanya.

Suri rumah Nurita Mohammad Jara, 35 memberitahu beliau bersama keluarganya dan jiran lain mulai berpindah dari rumah mereka pada 8 malam tadi, ketika paras air mulai meningkat serta berombak.

Ali Osman Isnani, 62, pula berkata, pukulan ombak kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini, dan beliau sendiri melihat beberapa rumah berlanggar dengan rumah lain selepas dipukul ombak.

“Apabila keadaan semakin pulih, saya cuba balik ke rumah dalam 2.30 pagi, tetapi dihalang oleh pihak polis kerana keadaan berbahaya.

“Memang sedih sebab tahun-tahun dulu tidak seteruk ini, tetapi saya bersyukur keluarga dan penduduk selamat semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.