Nasib UPSR, PT3 bergantung laporan PPPM 2025

Nasib UPSR, PT3 bergantung laporan PPPM 2025

Sebarang keputusan untuk kembalikan peperiksaan itu perlu merujuk kepada fakta dan data yang dikumpul sepanjang tempoh PPPM 2025, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Ramai ibu bapa menuntut UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan dan dilaksanakan semula dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan sama ada mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (PPPM 2025) yang akan tamat tiga tahun lagi.

Menteri, Fadhlina Sidek berkata sebarang keputusan untuk kembalikan peperiksaan itu perlu merujuk fakta dan data yang dikumpul sepanjang tempoh PPPM 2025, bukannya bergantung kecenderungan sedia ada.

“Kita faham keprihatinan ibu bapa, susulan anak-anak tidak menduduki peperiksaan dan sebenarnya isu ini sudah melalui proses sangat panjang dengan pihak berkepentingan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum memutuskan untuk memansuhkan UPSR.

“Jadi, kita kena bentangkan dahulu hasil laporan PPPM 2025 untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pendidikan dan laporan tersebut akan menunjukkan keberhasilan melibatkan peperiksaan dan proses pembelajaran anak-anak,” katanya kepada pemberita.

PPPM yang dilancarkan pada 2013, bakal tamat pada 2025.

Fadhlina mengulas sama ada UPSR dan PT3 akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat, ekoran ramai ibu bapa menuntut ia dikembalikan dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, setakat ini, pendirian KPM ialah memperkukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi penambahbaikan, kemajuan, dan potensi pelajar berbanding peperiksaan, malah ia sebagai proses ansur maju kanak-kanak secara holistik yang tidak tertumpu pada satu aspek saja.

“Pendirian KPM sekarang nak kukuhkan PBS sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik dan bukan macam UPSR atau PT3, yang tidak mahu terlalu fokus kepada peperiksaan. Jadi, dalam hal ini, kena bagi sedikit ruang dan masa, kita akan lihat hasil pembentangan PPPM 2025,” katanya.

Takwim persekolahan kembali ke Januari

Fadhlina berkata, KPM juga komited memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas, akan dikembalikan semula kepada jadual asal, iaitu Januari, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, perkara berkenaan belum boleh dilaksanakan tahun depan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi mengikut Akta Pendidikan.

“Kita akan balik ke Januari, jangan risau kerana saya tahu ramai ibu bapa tertunggu-tunggu dan meminta kementerian kembalikan permulaan sesi persekolahan seperti biasa, cuma terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan hendaklah tidak kurang daripada 190 hari, selain itu, kita turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan B,” katanya.

Fadhlina berkata perubahan semula takwim persekolahan perlu mengambil kira jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun.

“Kami bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan anak-anak, selain mengambil kira peperiksaan SPM, STPM, dan STAM,” katanya.

Sebelum ini, sesi persekolahan berubah susulan penularan Covid-19 yang melanda negara dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang menyebabkan takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula Mac 2022.

Takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula 10 dan 11 Mac depan mengikut negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.