Lantikan semula Jazlan ditangguh untuk selaras semua jawatan, kata Zahid 

Lantikan semula Jazlan ditangguh untuk selaras semua jawatan, kata Zahid 

Timbalan perdana menteri berkata, penyelarasan itu dibuat ke atas semua jawatan, bukan hanya satu jawatan.

Ahmad Jazlan Yaakub julung kali dilantik sebagai pengerusi Felcra pada Oktober 2021.
SHAH ALAM:
Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra ditangguhkan kerana kerajaan ingin membuat penyelarasan untuk semua jawatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, penyelarasan itu membabitkan semua badan berkanun persekutuan, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Selepas penyelarasan itu, katanya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan membuat pelantikan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Maka penyelarasan dibuat untuk semua jawatan, bukan hanya satu jawatan saja dan akan diumumkan sekali lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra anjuran Kuil Sree Maha Kaliamman.

Penangguhan itu dimaklumkan Anwar pada Rabu lalu, selepas Zahid mengumumkan pelantikan semula Jazlan sebagai pengerusi Felcra, yang mengambil kira kehendak peneroka.

Anwar dilaporkan berkata, tiada isu untuk ahli politik dilantik ke jawatan sedemikian, tetapi pelantikan itu perlu mengikut amalan urus tadbir baik.

Bagaimanapun, pelantikan pemimpin Umno itu dikritik warganet dan kumpulan masyarakat sivil.

Jazlan yang juga ketua Umno Kelantan julung kali dilantik mengetuai Felcra pada Oktober 2021. Beliau merupakan timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah di bawah pentadbiran Najib Razak dari 2015 hingga 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.