
Charles Santiago berkata, ada kemungkinan taktik seumpama itu sengaja dibuat semata-mata ingin mengundang perhatian bagi menunjukkan kepada rakyat diwakili bahawa mereka komited terhadap isu tertentu.
Merujuk kepada “semangat” Ahli Parlimen dari kedua-dua blok, Santiago berkata, adalah sangat membantu sekiranya pejabat Speaker menganjurkan latihan kepada Ahli Parlimen baharu untuk membimbing mereka memahami Peraturan Majlis Mesyuarat.
“Sudah ada ‘buku biru’ yang menggariskan apa yang boleh dibuat dan tidak boleh. Buku itu menyediakan modus operandi menjalankan urusan di Parlimen,” katanya kepada FMT.
Bekas wakil rakyat Klang itu mengulas perang mulut meletus di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Arau, Shahidan Kassim, mempersoalkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, dalam pembentangan usul percaya terhadap perdana menteri.
Santiago juga berkata, Speaker boleh memainkan peranan memastikan prosiding kekal tenang dengan mengeluarkan amaran keras kepada Ahli Parlimen yang melampaui batas.
Dalam pada itu, bekas Speaker, Ariff Md Yusof berkata, pejabatnya sebelum ini pernah membincangkan beberapa rancangan untuk “memperkasa” peraturan sedia ada. Ini termasuk, memperkenalkan tatacara dan pindaan terhadap peraturan mesyuarat termasuk peruntukan tertentu.
“Kita mesti mengenakan hukuman lebih tegas memandangkan hukuman sedia ada tidak memadai. Deraf sudah ada, hanya perlu mengubahsuai (peraturan) mengikut keperluan,” katanya.
Ariff yang menjadi Speaker selama dua tahun, mencadangkan denda maksimum RM20,000, lanjutan tempoh penggantungan dan mengurangkan sebahagian elaun Ahli Parlimen ketika menjalani tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, mempersoalkan keperluan mentadbir Dewan Rakyat sekiranya “kita percaya kepada kebebasan bersuara dan semangat demokrasi”.
“Dewan Rakyat mesti ditadbir sendiri memandangkan ahlinya mungkin bertukar setiap beberapa tahun,” katanya.
Sementara itu, bekas menteri undang-undang, Nazri Aziz berkata, walaupun ada beberapa wakil rakyat yang boleh bertindak melampau, ada undang-undang untuk mengekang tindakan mereka.
“Memantau tingkah laku merupakan kerja sukar kerana ia perlu dipupuk pada usia lebih muda,” katanya. “Pengundi mungkin memilih Ahli Parlimen kerana sikap mereka, namun Ahli Parlimen ini boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang kerana menghasut dan beberapa kesalahan lain mengikut Kanun Jenayah.”