
Puad berkata mana-mana pemimpin parti ingin memulihkan Umno perlu taat kepada keputusan parti.
“Jangan memandai buat keputusan sendiri. Jangan buat akuan berkanun sendiri. Ikut resam padi,” katanya di Facebook.
Beliau yang juga ADUN Rengit berkata pemimpin parti yang ingin membaiki Umno sepatutnya berkelakuan sedemikian selepas PRU14.
PRU pada 2018 itu menyaksikan Barisan Nasional tewas di peringkat persekutuan. Menuju PRU15 menyaksikan Umno bercakaran dengan Bersatu, meskipun wakil rakyat masing-masing terlibat dengan pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Baguslah jika ramai pemimpin Umno berazam untuk kekal dalam Umno dan mahu membaiki Umno bila sudah tidak berjawatan.
“Sepatutnya mereka ini melakukannya sejak Umno hilang kuasa pada PRU14, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa pun, bahkan hampir merosakkan Umno,” katanya.
Puad menyenaraikan “kesalahan besar” yang dilakukan pemimpin Umno tertentu terhadap parti sendiri, iaitu “suka buat keputusan sendiri, tidak ikut keputusan parti, dan mewujudkan kluster sendiri”.
“Itu tidak membantu parti yang ketika itu cuba dibunuh.
“Sebagai pemimpin, buat cara memimpin. Bila sudah jadi ahli biasa, buatlah cara ahli biasa pula,” tambahnya.
Semalam, Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, berkata Umno tidak boleh tersilap langkah lagi selepas BN kalah teruk pada PRU15.
Beliau berkata, Umno perlu sedar dan menginsafi kekalahan dengan membetulkan kelemahannya.
Keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti dapat membentuk kerajaan.
Umno memenangi 26 kerusi dengan MCA memperoleh dua, MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.
Pesaingnya, Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional memperoleh 74 kerusi.