Tarif purata asas penggunaan kemudahan gas dikurang mulai 1 Jan, kata Rafizi

Tarif purata asas penggunaan kemudahan gas dikurang mulai 1 Jan, kata Rafizi

Penetapan tarif kemudahan gas ditetapkan kerajaan bagi setiap tempoh kawal selia adalah sebahagian daripada kerangka kawal selia pasaran gas dalam negara.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023 adalah RM1.061/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.002/GJ/hari.
KUALA LUMPUR:
Tarif purata asas penggunaan kemudahan gas yang perlu dibayar oleh pengguna gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) akan dikurangkan bermula 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2025, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata, penetapan tarif kemudahan gas yang ditetapkan oleh kerajaan bagi setiap tempoh kawal selia adalah sebahagian daripada kerangka kawal selia pasaran gas di negara ini di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Menurutnya, tarif baharu kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) untuk tempoh tersebut melibatkan empat kemudahan gas iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg Udang) Sdn Bhd (RGTSU), terminal penggasan semula milik Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (RGTP), talian paip penghantaran milik Petronas Gas Bhd (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd. (GMD).

“Penetapan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) dan pelarasan pendapatan serta purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh tersebut adalah purata tarif asas bagi RGTSU kekal seperti mana tempoh kawal selia pertama (RP1) pada kadar RM3.455/gigajoule (GJ)/hari.

“Dan tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi berkata, purata tarif asas bagi RGTP turut turun sebanyak 9.2% pada kadar RM3.165/GJ/hari berbanding RM3.485/GJ/hari dalam tempoh RP1 dan tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023.

Sementara itu, purata tarif asas bagi PGB juga turun sebanyak 5.8% pada kadar RM1.063/GJ/hari berbanding RM1.129/GJ/hari bagi tempoh RP1.

“Purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023 adalah RM1.061/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.002/GJ/hari.

“Manakala purata tarif asas bagi GMD kekal seperti mana tempoh RP1 pada kadar RM1.573/GJ/hari. Purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023 adalah RM1.535/GJ/hari selepas pelarasan lebihan pendapatan sebanyak RM0.038/GJ/hari,” katanya.

Rafizi berkata, penurunan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh RP2 itu dijangka memberi penjimatan dari segi kos tenaga kepada industri.

“Ia bergantung kepada jumlah isi padu penggunaan gas, penurunan purata tarif kemudahan gas ini diunjurkan akan diterjemahkan kepada penjimatan antara RM5.5 juta hingga RM33.2 juta bagi 2023.

“Bagi segmen pengagihan mengikut kategori pengguna sama ada kediaman, komersial atau industri, penjimatan adalah antara RM4,000 hingga RM55.9 juta bagi 2023,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.