Segelintir penduduk tebing sungai enggan pindah jadi penghalang, kata Abang Jo

Segelintir penduduk tebing sungai enggan pindah jadi penghalang, kata Abang Jo

Abang Johari Openg berkata, kerajaan negeri sudah ada perancangan memindahkan mereka ke kawasan lebih tinggi, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Abang Johari Openg berkata, segelintir penduduk di tebing sungai yang sering dilanda banjir enggan berpindah kerana takut cara hidup mereka terjejas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Segelintir penduduk tebing sungai di beberapa kawasan pedalaman Sarawak yang sering dilanda banjir enggan berpindah, menghalang usaha kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah membelenggu mereka.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, kerajaan negeri sudah ada perancangan memindahkan mereka ke kawasan lebih tinggi, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

“Mereka takut cara hidup mereka terjejas. Cara hidup mereka lama berdekatan dengan sungai. Apabila kita minta mereka pindah ke atas, agak beratlah untuk mereka berpindah,” katanya dipetik Bernama ketika mengulas kawasan penempatan pedalaman di Baram yang dilanda banjir sehingga lebih 10 kali setahun.

Memandangkan masalah ini melibatkan pola pemikiran masyarakat, katanya, ia akan mengambil masa untuk diselesaikan.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Sungai Bedaun, Santubong, yang turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Terdahulu, Jabatan Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 305 setakat 3 petang tadi, berbanding 139 pagi tadi, dengan dua lagi PPS dibuka di Sebuyau dan Samarahan, menjadikan keseluruhan enam PPS di negeri itu.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan perumahan baharu yang dilaksanakan di Kampung Sungai Bedaun, dekat Kuching akan diintegrasikan dengan penempatan sedia ada, mengambil kira langkah jangka panjang pencegahan banjir.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran akan membantu Lembaga Perlindungan dan Pembangunan Tanah (LCDA) Sarawak menjalankan pembangunan itu.

“Kosnya (untuk pembangunan ini) tidak akan menjadi terlalu tinggi, jika kita merancang awal dan kita juga sudah ada pelan induk untuk pembangunan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.