Remaja perempuan maut ditimbus perigi runtuh

Remaja perempuan maut ditimbus perigi runtuh

Polis berkata, bapa remaja perempuan itu meminta mangsa masuk ke dalam perigi sedalam 3 meter yang baru digali sebelum dindingnya runtuh.

Polis berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
KUANTAN:
Seorang remaja perempuan maut selepas ditimbus tanah ketika berada di dalam perigi bersebelahan rumahnya di Lanchang, Temerloh dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Azhar Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada 3.34 petang tadi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi, lelaki itu meminta anaknya berusia 15 tahun masuk ke dalam perigi sedalam 3m yang baru digali bagi membaiki gelung, namun dinding perigi itu tiba-tiba runtuh dan menimbus mangsa.

“Mangsa berjaya dibawa keluar dari perigi tersebut dan dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Siasatan terperinci akan dijalankan dan keterangan saksi berkaitan akan diambil bagi melengkapkan siasatan,” katanya yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat sentiasa peka dan lebih prihatin terhadap keselamatan anak serta menjauhi kawasan berisiko dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Sebarang kemalangan yang disebabkan kecuaian ibu bapa, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.