Nasib ahli perniagaan dikehendaki Malaysia, China diketahui 18 Jan

Nasib ahli perniagaan dikehendaki Malaysia, China diketahui 18 Jan

Mahkamah Jenayah Bangkok akan membuat keputusan sama ada Teow Wooi Huat yang dikehendaki atas tuduhan menipu akan dihantar pulang ke Malaysia atau diekstradisi ke China.

Pengasas BMI Group, Teow Wooi Huat mengakui dia melakukan jenayah di Malaysia ‘beberapa tahun lalu’.
PETALING JAYA:
Mahkamah Jenayah Bangkok menetapkan 18 Jan ini untuk menentukan nasib ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki, Teow Wooi Huat sama ada dihantar pulang ke Malaysia atau diekstradisi ke China.

Menurut laporan Bernama, pihak berkuasa Malaysia dan China masing-masing mengemukakan permintaan kepada Thailand untuk mengekstradisi ahli perniagaan berusia 55 tahun itu atas dakwaan menipu pelabur melalui skim pelaburan meragukan.

Walaupun ditahan lebih 150 hari, pengasas MBI Group itu tampil penuh bersemangat hari ini dan memberitahu mahkamah bahawa semua pertuduhan yang difailkan pihak berkuasa China terhadapnya “tidak berasas dan palsu”.

“Semua bukti yang dikemukakan (pihak berkuasa China) tidak logik dan tidak berasas.

“Sudah tentu saya tidak mahu dihantar pulang ke China. Saya tidak melakukan apa-apa jenayah di China,” katanya kepada mahkamah.

Polis Beijing dilaporkan mahu menyoal siasat lelaki itu, susulan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan sekitar RM100 juta.

Usahawan kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun mengakui dia melakukan jenayah di Malaysia “beberapa tahun lalu”.

Dia ditahan pada 21 Julai di Danok, Thailand dan visanya dibatalkan. Sejak itu, dia berada dalam tahanan Polis Imigresen Thailand dan menunggu pengusiran.

Teow juga berada dalam senarai orang dikehendaki Polis Diraja Malaysia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan permintaan ekstradisi rasmi dikemukakan kepada Thailand pada 20 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.