Hari pertama jadi pembangkang, Ahli Parlimen PN ‘masih keliru’, kata penganalisis

Hari pertama jadi pembangkang, Ahli Parlimen PN ‘masih keliru’, kata penganalisis

Penganalisis berkata mereka nampak seolah-olah tidak mampu menyampaikan mesej yang koheren.

Ahli Parlimen PN masih belum menyesuaikan diri dengan peranan baharu mereka, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis mengkritik prestasi Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada hari pertamanya sebagai pembangkang.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, jelas PN masih belum “selesa” dengan peranan baharunya.

Bercakap kepada FMT, beliau memberi sebagai contoh Shahidan Kassim (Arau) dan Takyuddin Hassan (Kota Bharu) yang dilihat tidak sedar mereka mempertikai kebijaksanaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin apabila mempertikai usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahidan berkata pengundian itu membuang masa dan Takiyuddin berkata usul itu tidak perlu memandangkan Anwar telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Tetapi Muhyiddin (Pagoh) yang menuntut Anwar membuktikan majoritinya di Parlimen.

Awang Azman berkata, beliau percaya Ahli-ahli Parlimen PN tahu Anwar akan berjaya dalam usul undi percaya itu. Namun katanya, mereka sepatutnya mendesak undian blok, bukannya mengomel kemudian bahawa undian berkenaan tidak dikira.

Selain itu, katanya, Ahli Parlimen PN perlu berdebat menggunakan fakta dan angka, selain beralih dari “mod” kempen pilihan raya.

“Rakyat memerhatikan dan menilai Ahli-ahli Parlimen,” katanya. “Jika mereka tidak mampu menjalankan tugas sebaik Ahli Parlimen pembangkang, bagaimana pula prestasi mereka sekiranya dalam kerajaan?”

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata, hujahan Ahli-ahli Parlimen PN bahawa usul undi percaya itu tidak wajar adalah tidak berasas.

“Mereka yang mempertikaikan keabsahan Anwar,” katanya. “Jadi beliau tiada pilihan selain mengusulkannya. Ia bukan sekadar akademik.”

Azmi berkata semua parti kini perlu “move on” memandangkan Anwar telah membuktikan memiliki sokongan majoriti.

“Kerajaan boleh melakukan tugasnya, dan pembangkang juga begitu,” katanya. “Tiada keperluan untuk terus membangkitkan isu majoriti Anwar. Ia tidak membawa sebarang hasil.”

Anwar berjaya dalam usul undi percaya itu pada Isnin dengan undian suara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.