
Presidennya, Soh Thian Lai, berkata pihak industri kecewa dengan keputusan meletakkan pusat itu kembali di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala sistem satu saluran (OCS) bagi pengambilan pekerja domestik dikekalkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Keputusan terbabit diumumkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, semalam.
“Timbul kebimbangan besar mengenai dasar ‘flip-flop’ yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan perniagaan memandangkan akan ada penentukuran semula dasar dan sistem oleh KDN selepas mengambil alih pengurusan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan.

Menteri sumber manusia sebelum ini, M Saravanan, pada Jun dilaporkan berkata, pusat sehenti dipindahkan dari KDN kepada Kementerian Sumber Manusia sejajar dengan amalan di kebanyakan negara.
Soh berkata, dasar ‘flip-flop’ kelihatan bercanggah dengan ikrar Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke arah kecekapan lebih baik dalam perkhidmatan awam.
“Kami melihat pembalikan semula dasar pengurusan ini merumitkan keseluruhan proses, menimbulkan kesukaran kepada majikan mendapatkan kelulusan dari dua atau lebih kementerian atau agensi bagi setiap permohonan, sekaligus melambatkan,” katanya.
Katanya, walaupun kerajaan telah memutus memindahkan OCS bagi pengambilan pekerja asing kembali ke KDN, “Hakikatnya Kementerian Sumber Manusia masih lagi menguruskan banyak aspek mengenai pengambilan pekerja asing”.
“FMM berpendirian teguh bahawa agensi tunggal diperlukan mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing dari hujung ke hujung (pengambilan dan penghantaran pulang) melalui sistem dalam talian tunggal dalam memastikan kejelasan/ketelusan selain menjamin keberkesanan sistem, termasuk meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.