
MRT Corp berkata, pembinaan laluan dari Stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral sudah selesai.
“Laluan sepanjang 38.7km bagi jajaran Fasa 2, yang merangkumi 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah itu dijangka beroperasi pada Mac 2023,” katanya dalam kenyataan.
MRT Laluan Putrajaya Fasa 1, yang dilengkapi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu, mula beroperasi 16 Jun lalu.
Apabila Fasa 2 beroperasi sepenuhnya, penumpang boleh berpindah ke laluan tren sedia ada yang lain di 10 stesen pertukaran berbeza.
Stesen pertukaran itu ialah Kwasa Damansara (dengan MRT Laluan Kajang), Sungai Buloh (KTM), Sri Damansara Timur (KTM), Kampung Batu (KTM), Titiwangsa (KL Monorail dan LRT Laluan Ampang serta Sri Petaling), Ampang Park (LRT Laluan Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (MRT Laluan Kajang), Chan Sow Lin (LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling), Sungai Besi (LRT Laluan Sri Petaling) serta Putrajaya Sentral (ERL dan Laluan Transit KLIA).
Sementara itu, MRT Corp berkata, sebanyak 5,870 ruang letak kereta disediakan di 15 stesen sepanjang laluan itu.
MRT Laluan Putrajaya pada mulanya dijadualkan beroperasi pada Ogos 2021, tetapi ditangguhkan ke pertengahan November tahun lalu dan kemudiannya menghadapi kelewatan lagi.
Selepas siap, MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7km akan dilengkapi 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.