UM hilang 30 graduan perubatan terbaik kepada Singapura setiap tahun, kata Adeeba

UM hilang 30 graduan perubatan terbaik kepada Singapura setiap tahun, kata Adeeba

Katanya, keadaan itu adalah disebabkan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan.

Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kekurangan jawatan dan laluan latihan jelas untuk doktor, jururawat dan profesional kesihatan lain memaksa mereka mencari peluang lebih baik di tempat lain.
PETALING JAYA:
Bekas dekan fakulti perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik institut berkenaan berhijrah untuk berkhidmat di Singapura setiap tahun.

Katanya, keadaan itu adalah disebabkan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan.

Beliau menggesa kerajaan agar memandang serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan untuk membendung “brain drain” (perhijrahan cendekiawan) daripada terus berlaku.

“Setiap tahun, UM kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan terbaik dan cemerlang kepada Singapura. Ingat, kos hampir RM1 juta (digunakan) untuk melatih setiap pelajar ini.

“Sekarang, kita juga nampaknya akan membantu mengatasi kekurangan kakitangan perkhidmatan penjagaan kesihatan (NHS) dengan menghantar pegawai perubatan kita ke UK (United Kingdom),” katanya.

Adeeba berkata, ramai doktor dan pegawai perubatan baharu yang berkualiti berhijrah ke luar negara kerana kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas di Malaysia.

Beliau yang turut dikenali sebagai pakar penyakit berjangkit yang terkemuka di peringkat antarabangsa itu menjawab artikel disiarkan laman web berita kesihatan Codeblue mengenai penambahbaikan keadaan jabatan kecemasan di hospital awam.

Laman web itu melaporkan bagaimana sesetengah pesakit, termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan, terkandas sehingga enam hari di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh ekoran isu katil dan kakitangan perubatan yang tidak mencukupi.

Sebelum ini, isu berkenaan turut dibangkitkan oleh ramai doktor muda tempatan yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia secara kontrak.

Berikutan bantahan oleh doktor muda sebelum ini, kerajaan mengumumkan ia akan membiayai sehingga 3,000 tempat pengajian lanjutan untuk doktor kontrak dan doktor gigi.

Sebelum itu, doktor kontrak tidak layak melanjutkan pengajian bagi membolehkan mereka menjadi pakar.

Adeeba berkata, dalam isu berkenaan doktor muda tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanya mencari peluang yang lebih baik di tempat lain selepas kecewa dengan sistem di Malaysia.

“Bagaimana kita boleh mengharapkan untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan serta bertaraf dunia apabila penghijrahan dalam dan luaran masih berterusan? Dan kemudian (perkara yang sama berlaku dengan) jururawat…,” katanya merujuk kepada masalah kekurangan jururawat yang teruk atas sebab yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.