Pemimpin DAP persoal peranan Yayasan Wilayah Persekutuan

Pemimpin DAP persoal peranan Yayasan Wilayah Persekutuan

Lim Lip Eng mencadangkan ia dibubarkan jika wujud pertindihan dengan agensi kerajaan seperti JKM dan DBKL.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan apa sebenarnya peranan Yayasan Wilayah Persekutuan kerana ia tidak diketahui oleh mana-mana pihak.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Lim Lip Eng mempersoalkan kewajaran Yayasan Wilayah Persekutuan dikekalkan kerana wujud pertindihan kuasa antara yayasan itu dengan agensi kerajaan melibatkan hal ehwal kebajikan.

Ahli Parlimen Kepong berkata, beliau mencadangkan yayasan itu dibubarkan jika wujud pertindihan dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bagi tahu saya apa peranan yayasan ini yang tidak bertindih dengan agensi (DBKL dan JKM) lain? Kalau jawapannya (bekas ketua setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan) boleh diterima, saya setuju. Kalau tak boleh diterima, sila bubar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, agensi seperti JKM, Baitulmal dan pelbagai agensi kerajaan lain sudah terlibat dalam urusan kebajikan.

Lim berkata, beliau sudah membangkitkan perkara itu ketika majlis interaksi Wilayah Persekutuan melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan 11 Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

“Persoalan tersebut telah dijawab bekas ketua setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Rosida Jaafar pada pertemuan itu dengan menyatakan bahawa yayasan berkenaan ditubuhkan bawah Akta Syarikat 2016.

“Saya tegur dia, setiap kali saya tanya di Parlimen mengenai soalan ini, jawapan sama diberikan iaitu yayasan ini ditubuhkan bawah Akta Syarikat dan tidak terlibat dengan DBKL,” katanya.

Beliau menyifatkan jawapan itu sebagai tidak munasabah kerana yayasan berkenaan perlu terlibat 100% dengan DBKL dan bukannya sebuah badan swasta.

“Kalau ini swasta, jangan libat tanah kerajaan, jangan libat duit DBKL. Dana daripada DBKL, tanah diberi oleh DBKL dia jual, dia sewa,” dakwa Lim.

Selain itu, Lim turut mempersoalkan apa sebenarnya peranan yayasan berkenaan kerana ia tidak diketahui oleh mana-mana pihak.

“Apa peranannya…apa projeknya? Apa yang dilakukan sepanjang pandemik, tapi mereka ada pengerusi, pengarah, staf dan ada bangunan yang bertingkat di Kuala Lumpur. Semua ini bagi saya pembaziran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.