
Penganalisis politik dari Universiti Nottingham Bridget Welsh berkata daripada data diperolehinya mendapati adalah sebaliknya apabila peratusan keluar mengundi orang Melayu adalah paling tinggi berbanding kaum lain.
“Malah, peratusan keluar mengundi yang lebih rendah oleh masyarakat Cina dan etnik bukan Melayu lain mencabar dakwaan Hadi,” katanya ketika dihubungi FMT.
Kata Bridget dakwaan Hadi itu adalah bagi meneruskan naratif analitikalnya bahawa orang Melayu sedang terancam dari segi politik walhal tidak disokong oleh data.
Hadi sebelum ini mendakwa 98% peratus orang bukan Islam di Malaysia telah keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.
Tambah bekas duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu, peratusan orang Melayu yang keluar mengundi adalah sebanyak 60% sahaja selain mendakwa orang Islam yang tidak keluar mengundi sebagai tidak menunaikan kewajipan mereka.
Bagaimanapun, Bridget melalui satu ciapan di Twitter menjelaskan bahawa peratusan keluar mengundi Melayu adalah sebanyak 79%, lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain.
Dalam ciapan yang sama, penganalisis politik itu berkata peratusan keluar mengundi bagi orang India adalah sebanyak 78%, Cina 69% dan lain-lain sebanyak 59%.
Analisis mengenai peratusan keluar mengundi PRU15 telah diterbitkan oleh Bridget pada 26 Nov lalu.
Tambahnya, sebarang bentuk analisis keputusan pilihan raya perlulah berlandaskan kepada fakta bukannya fantasi semata-mata.
Berdasarkan kajian PRU15 yang diterbitkannya sebelum ini, beliau menganggarkan seramai 21% daripada keseluruhan pengundi di Semenanjung tidak keluar mengundi.
Jelas Bridget, anggaran yang dibuatnya adalah berdasarkan kepada inferens secara ekologi.