Lokasi usahawan Malaysia diekstradisi diputus mahkamah Thai

Lokasi usahawan Malaysia diekstradisi diputus mahkamah Thai

Usahawan kelahiran Pulau Pinang Teow Wooi Huat turut dikehendaki pihak berkuasa China kerana disyaki menipu 400 pelabur.

Usahawan kelahiran Pulau Pinang, Teow Wooi Huat ditahan imigresen Thailand selepas visanya tamat Julai lalu. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Mahkamah Thailand akan memutuskan ke mana ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki Teow Wooi Huat akan diekstradisi, selepas Malaysia turut memfailkan permohonan ekstradisi ke atas usahawan kelahiran Pulau Pinang berusia 55 tahun itu pada 20 Dis lalu.

Permohonan ekstradisi oleh Malaysia didengar oleh Mahkamah Jenayah Bangkok pada Khamis.

Peguam Juti Suanraksa berkata pasukan pembelaan akan menyerahkan dokumen diperlukan untuk Teow diekstradisi ke Malaysia.

“Kami ingin mengetahui mengapa Teow mesti diekstradisi ke China. Jika semuanya berjalan lancar, peluang Teow kembali ke Malaysia adalah tinggi,” katanya kepada Bernama.

Teow ditahan pada 21 Julai tahun ini dan pada 1 Ogos dimaklumkan lelaki itu dikehendaki oleh pihak berkuasa di China kerana menipu pelabur menerusi skim pelaburan meragukan.

Lelaki itu dicari oleh pihak berkuasa Malaysia dan China dengan China terlebih dahulu memohon Teow diekstradisi ke negara berkenaan.

Juti berkata pasukan peguam hari ini turut mempersoalkan mengapa sejak penahanannya Teow tidak pernah dimaklumkan mengapa visanya dibatalkan.

Teow, pengasas Kumpulan MBI, berada dalam tahanan Polis Imigresen Thailand lebih 150 hari selepas visanya dibatalkan pada 21 Julai. Sejak itu, dia menunggu pengusiran oleh pihak berkuasa Thailand.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu Teow disoal siasat susulan saman yang difailkan kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.

Pada 25 Julai, Polis Diraja Malaysia berkata pasukan itu dalam proses memohon agar Teow diekstradisi ke Malaysia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada 4 Dis, penolong ketua polis Thailand Surachate Hakparn berkata Teow akan dihantar pulang sebelum akhir bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.