
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau aktiviti sedemikian yang dijalankan sebagai perniagaan sampingan oleh pemilik hotel atau resort.
Ketika ini, aktiviti perkhemahan anjuran hotel atau resort tidak dikawal selia.
Ng berkata, kerajaan negeri akan mempercepatkan bancian untuk mengenal pasti jumlah tapak perkhemahan di Hulu Selangor.
“Bancian juga akan mengenal pasti lokasi-lokasi aktiviti tersebut dalam melihat kawasan sensitif alam sekitar dan tempat yang tidak sesuai atau berisiko bagi aktiviti rekreasi,” katanya dalam sidang media.
Ng berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklum balas pemegang taruh yang terbabit dalam aktiviti rekreasi dan perkhemahan.
Katanya, semua dapatan itu akan membantu kerajaan negeri merangka garis panduan untuk memastikan keselamatan awam.
“Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan akan diperakui oleh PBT dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti tersebut.”
Pagi tadi, mayat seorang lelaki ditemui di lokasi tanah runtuh di Batang Kali, menjadikan angka korban kini meningkat kepada 26 orang.
Seramai 61 orang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 2.42 pagi Jumaat lalu.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan tujuh lagi mangsa hilang.
Sementara itu, Jalan Genting-Batang Kali di mana tanah runtuh itu berlaku akan ditutup selama setahun untuk membolehkan penilaian dan pembaikan semula jalan serta cerun dilakukan.