NGO gagal sekat kerajaan usir 114 pelarian Myanmar

NGO gagal sekat kerajaan usir 114 pelarian Myanmar

Mahkamah Rayuan memutuskan tiada keistimewaan untuk membenarkan penangguhan dilakukan.

Seramai 114 warga Myanmar sudah menandatangani borang kebenaran memohon dihantar pulang ke negara asal, namun didakwa tindakan itu dibuat bukan secara sukarela. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Dua NGO gagal dalam usaha menyekat kerajaan daripada menghantar pulang 114 pelarian Myanmar.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan baharu dikemukakan NGO itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, tiada keistimewaan untuk membenarkan penangguhan itu.

“Afidavit sudah difailkan ketua pengarah imigresen (menyatakan) bahawa semua pelarian mahu pulang ke negara asal,” katanya dalam prosiding dalam talian.

Hakim lain yang turut bersidang adalah Hakim See Mee Chun dan Hakim Hashim Hamzah.

Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia memfailkan permohonan penangguhan baharu selepas Mahkamah Tinggi pada 13 Dis, menarik balik penangguhan sementara yang diberikan tahun lalu untuk menghalang pengusiran hampir 1,200 warga Myanmar.

NGO berkenaan turut memfailkan saman terhadap ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri bertujuan mencabar rancangan mengusir 1,200 warga Myanmar.

Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara pengusiran itu.

NGO terbabit mendakwa walaupun arahan mahkamah sudah dikeluarkan, seramai 1,086 warga Myanmar sudah diusir dengan bantuan tentera laut Myanmar.

Kira-kira 114 warga Myanmar kekal berada di Malaysia dan tertakluk kepada prosiding mahkamah selanjutnya.

Ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri telah memohon penarikan penangguhan itu berdasarkan tindakan 114 warga Myanmar sudah menandatangani borang kebenaran untuk dihantar pulang ke negara asal.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan M Kogilambigai mewakili ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri, manakala peguam Lim Wei Jiet, mewakili NGO terbabit, pada prosiding, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.