
Anwar berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Awal minggu ini, Zahid berkata Jazlan akan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak peneroka.
Bagaimanapun, pelantikan ahli politik Umno itu mendapat kritikan pengguna media sosial dan kumpulan masyarakat sivil.
Anwar berkata, tiada isu untuk ahli politik dilantik ke jawatan seperti itu tetapi pelantikan itu mestilah mengikut amalan urus tadbir yang baik.
“Saya mahu jelaskan ahli politik atau Ahli Parlimen boleh dilantik tetapi kita akan mempertimbangkan kemampuan profesional individu dan prestasi sebelum ini, dan juga mesti mematuhi dengan peraturan dan prinsip urus tadbir yang baik,” katanya.
Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan kali pertama dilantik sebagai pengerusi Felcra pada Okt tahun lalu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah di bawah pentadbiran Najib Razak dari 2015 dan 2018.
Pada 15 Dis lalu, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali mengeluarkan pekeliling kepada ketua setiausaha di setiap kementerian yang menyatakan Jemaah Menteri bersetuju menamatkan kontrak lantikan politik secara serta merta.
Ia turut melibatkan jawatan dalam badan berkanun Persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.