
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, Puteri Sofea Hanis Dania Jamaluddin ke taman tema itu bersama ibunya.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan Hospital Alor Gajah mengenai insiden itu kira-kira 3.15 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pinggir kolam berdekatan pulau buatan dengan kedalaman lebih kurang 1m di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, petugas taman tema memberikan bantuan kecemasan dan membawa mangsa ke hospital.
Katanya, laporan bedah siasat menyatakan punca kematian kanak-kanak itu sebagai “consistent with drowning”, iaitu dipercayai akibat lemas.
“Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat di bawah kematian mengejut.”
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa sedang bercuti dengan ibunya dan rombongan 78 anggota keluarga lain dari Komuniti Kampung Sungai Tuansih Tanjung, Sedeli Kota Tinggi, Johor.
Katanya, pengerusi jawatankuasa penganjur program itu memaklumkan program berkenaan hanya diadakan sehari dan mereka tiba di lokasi kira-kira 11 pagi.