Banjir: Salur bantuan menerusi agensi keselamatan, kata APM

Banjir: Salur bantuan menerusi agensi keselamatan, kata APM

APM berkata, orang awam mahupun NGO tidak digalakkan memasuki kawasan banjir kerana risiko keselamatan.

Menurut APM, usaha orang ramai dan NGO membantu mangsa banjir begitu dihargai, namun mereka berdepan kekangan dari segi logistik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Orang ramai atau NGO yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir diminta berbuat demikian menerusi agensi keselamatan bagi tujuan penyelarasan.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (Ketua Cawangan Khidmat Kemanusiaan), Amirsarifudin Zalman, berkata langkah itu dapat mengelakkan mereka daripada berdepan risiko kejadian tidak diingini, jika turun ke lokasi bencana.

“Mereka tidak digalakkan untuk memasuki kawasan kejadian banjir kerana risiko yang dihadapi pasukan penyelamat berbeza dengan risiko keselamatan orang awam dan tidak terlatih,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Menghargai usaha orang ramai dan NGO untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, Amirsarifudin berkata, pihaknya turut menghadapi kekangan dari segi logistik untuk disediakan kepada mereka yang ingin menghantar bantuan ke lokasi banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata, APM bersedia membimbing mereka yang mahu menghulurkan bantuan di kawasan bencana dengan memberikan latihan berkaitan.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mereka yang berniat untuk membantu supaya mereka terlatih dan dapat bersama-sama pasukan menyelamat dalam operasi bencana ini nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.