Amaran banjir di Pahang, Johor mulai esok

Amaran banjir di Pahang, Johor mulai esok

Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan banjir berlaku di Mersing dan Rompin.

Amaran banjir dikeluarkan JPS susulan amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan Jabatan Meteorologi semalam dan hasil simulasi model ramalan banjir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir bagi beberapa lokasi di Johor dan Pahang bermula esok jika hujan yang signifikan terus berlaku.

Ia adalah susulan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi semalam dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Di Johor, banjir diramalkan bermula 7 pagi di Mersing membabitkan Sungai Melikai dan sekitarnya manakala pada 8 malam pula di Kampung Jemari, Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya.

Di Pahang diramalkan bermula pada 11 malam meliputi kawasan di Rompin iaitu Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam dan kawasan sekitarnya.

“Banjir diramalkan berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan,” menurut PRABN.

PRABN memaklumkan amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan berkenaan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.