
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi, berkata berdasarkan makluman diterima pihaknya, bantuan awal diberikan melalui wakil Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pada 18 Dis lalu.
“Antara bantuan lain turut diberikan ialah 40 unit toto, 20 bantal, 20 tikar, 40 kotak air mineral, dua unit dapur memasak, 20 kampit beras, makanan ringan dan sebagainya. Bantuan lain juga akan menyusul,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Ahli Parlimen dan ADUN kawasan itu kini bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.
Katanya, bantuan susulan kepada penduduk terjejas termasuk di Kampung Tasek Bakong akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Saya juga terima maklumat mereka berlindung di kawasan surau, lori dan lain-lain selepas terkepung dengan banjir. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada awalnya tidak dapat menyalurkan bantuan kerana tiada akses,” katanya.
Sementara itu, pegawai pusat pemindahan banjir di Rantau Panjang ketika dihubungi memberitahu, penduduk kampung berkenaan pada awalnya diminta berpindah namun mereka menolak.
“Jadi, pihak keselamatan tidak boleh memaksa dan menghormati kehendak penduduk. Kami memahami kegusaran mereka untuk meninggalkan barang-barang di rumah, tetapi bila laluan ke kawasan tersebut sukar dilalui menyebabkan bantuan sukar dihantar,” katanya.
Dalam pada itu, wakil NGO Yayasan Al-Manjie serta Sekretariat Food Bank Malaysia, Suhail Mohamed Kamaruddin, yang terlibat secara langsung dalam misi bantuan banjir menyeru masyarakat bergabung membantu mangsa banjir, bukan “memanaskan” keadaan dengan menyalahkan mana-mana pihak kononnya tiada bantuan diberikan.
“Saya menyeru semua masyarakat bergabung tenaga membantu mangsa banjir seluruh negara, hentikan menuding jari menyalahkan dan mempertikaikan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan 62 mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong, terpaksa memasak air banjir untuk diminum sejak dua hari lalu selepas rumah mereka terkepung akibat banjir dan terputus bekalan air bersih.
Seorang penduduk, Muzipah Che Muda, 54, berkata dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan air banjir yang dimasak untuk membancuh susu kepada anak kecil.