4 cedera ambulans terbabas

4 cedera ambulans terbabas

Empat individu termasuk pesakit yang dibawa dalam ambulans cedera selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans, pesakit berusia 54 tahun dan anak perempuannya berumur 24 tahun tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Empat individu termasuk pesakit yang dibawa dalam ambulans St John cedera selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Masjid Negeri, semalam.

Timbalan Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata kemalangan berlaku pada 4.40 petang itu semasa pemandu ambulans dan seorang pembantu pegawai perubatan, masing-masing berumur 22 dan 28 tahun, dalam perjalanan dari Sungai Ara, selepas mengambil seorang pesakit wanita dan anak perempuannya untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sebaik sampai di Jalan Masjid Negeri, menghala ke Jalan Scotland, pemandu ambulans dipercayai hilang kawalan, menyebabkan ambulans terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta sebatang pokok di sebelah kanan jalan, lalu terbalik.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans, pesakit yang berusia 54 tahun dan anak perempuannya berumur 24 tahun tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu ambulans itu mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan di muka dan tangan.

“Pesakit pula mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya pula cedera di kepala dan muka. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.