Sistem saraan sektor awam lapuk, Cuepacs akan jumpa PM

Sistem saraan sektor awam lapuk, Cuepacs akan jumpa PM

Cuepacs berkata sistem saraan itu menjadi isu penting yang dibangkitkan perwakilan dalam konvensyen tritahunannya dari Sabtu lalu hingga semalam.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata sistem saraan perkhidmatan awam yang dilaksanakan sejak 1 Nov 2002 ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu membabitkan penjawat awam, khususnya sistem saraan perkhidmatan awam yang perlu diberi perhatian segera.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem saraan itu yang dilaksanakan sejak 1 Nov 2002 ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Cuepacs telah menghantar surat rasmi kepada perdana menteri untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu-isu membabitkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sistem saraan itu menjadi isu penting yang dibangkitkan perwakilan dalam konvensyen tritahunannya dari Sabtu lalu hingga semalam, selain banyak resolusi berkaitan kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam.

Pada 30 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dilaporkan berkata, kajian terhadap sistem saraan perkhidmatan awam yang dalam tindakan akhir untuk dimuktamadkan, akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ia susulan Perdana Menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob bersetuju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyegerakan kajian terhadap skim berkenaan dengan mengambil kira seluruh aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan supaya relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Adnan berterima kasih kepada perdana menteri meneruskan bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam dan kenaikan gaji tahunan khas sebanyak RM100 kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

Katanya, tiba masanya untuk kerajaan menyelaras gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.

“Cuepacs berharap pertemuan dengan perdana menteri kelak dapat memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai tuntutan Cuepacs dan penjawat awam,” katanya.

Perdana menteri ketika membentangkan bajet mini di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan bantuan tunai diteruskan, selain bantuan khas kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan pesara RM350.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.