
Perjuangannya demi mendapatkan semula tanah berkeluasan setengah ekar itu memberi makna besar buat dirinya.
Geran pemilikan tanah yang dipegang Sandramadi itu dikeluarkan pada 1911, namun Pejabat Tanah merampas tanah berkenaan 50 tahun lepas atas alasan pemilikannya tidak sah.
“Datuk saya membeli tanah itu dengan penat jerihnya bekerja di estet. Ia kemudian diserahkan kepada saya pada 1970 oleh abang yang menjadi pemegang amanah,” kata Sandramadi.

Wanita itu keluar masuk mahkamah dalam perjuangannya mendapatkan kembali tanah itu.
“Semua rekod ada. Perkara itu kini dalam proses mahkamah dan akhirnya saya akan menerima keputusan mahkamah,” katanya kepada FMT.
Sandramadi yang mempunyai 11 anak, 20 cucu dan 10 cicit, berkata beliau sanggup menjual sekeping tanah lain untuk membayar kos guaman semata-mata kerana mahu mendapatkan kembali tanah di mana semua anak-anaknya dilahirkan.
Diwakili peguam P Kengadharan, warga emas itu membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi Temerloh, namun kalah.
“Pada Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara bahawa ada merit dalam permohonan saya dan kes dihantar semula ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan semula,” kata Sandramadi.
Katanya, pendengaran baharu bermula pada 9 Dis dan bersambung selama dua hari bermula esok. Beliau hanya mampu berharap keputusan terbaik, tambahnya.

Anak lelakinya, Maheswaran Kandasamy, 62, berkata meskipun hanya membabitkan sebidang tanah kecil, ia cukup sentimental buat mereka sekeluarga.
“Semua adik beradik saya sudah melakukan sedaya upaya, berunding dengan pihak berkuasa tanah sejak puluhan tahun lepas, namun kami gagal. Jadi, biarlah mahkamah memutuskan nasib tanah itu,” katanya.