Polis rakam keterangan 53 individu dalam siasatan tanah runtuh

Polis rakam keterangan 53 individu dalam siasatan tanah runtuh

Polis berkata, beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Polis mengambil keterangan pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh dekat Batang Kali, serta mangsa terselamat dan keluarga mereka.
SEMENYIH:
Polis sudah merakam keterangan 53 individu bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, selain pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan itu, pihaknya turut mengambil keterangan mangsa terselamat dan keluarga mereka.

“Ada beberapa individu lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Semenyih di sini.

Arjunaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, Seksyen 290 Kanun Keseksaan menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan operasi tapak perkhemahan di lokasi projek pertanian tanpa lesen.

Beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan pasukan khusus di Hospital Sungai Buloh bagi membantu menyalurkan maklumat berkaitan tragedi itu kepada keluarga dan mangsa.

“Pasukan itu dianggotai seorang pegawai berpangkat ACP dan dibantu lapan anggota yang bertugas setiap syif,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini meragut 24 nyawa.

Jumaat lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tapak perkhemahan itu diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Dalam kejadian 2.42 pagi Jumaat lalu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m menimpa tapak perkhemahan itu di Jalan Genting-Batang Kali.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari kelima dan setakat ini, sembilan orang masih hilang, dengan 61 mangsa selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.