OKT telan, sembunyi dadah di seluar dalam untuk seludup ke penjara

OKT telan, sembunyi dadah di seluar dalam untuk seludup ke penjara

Polis berkata pihak hospital mengeluarkan enam biji balutan mampat dalam bentuk 'barrel' berisi dadah melalui pembedahan ke atas OKT.

Polis menahan tiga lelaki dan tiga wanita termasuk seorang penjawat awam yang disyaki menyeludup dadah dalam penjara.
JOHOR BAHRU:
Polis menahan enam individu, termasuk seorang penjawat awam disyaki terlibat penyeludupan dadah dalam penjara, menerusi serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini sejak Khamis hingga Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota cawangan mahkamah di sini menjalankan pemeriksaan terhadap orang kena tuduh (OKT) yang selesai menjalani perbicaraan kira-kira 10.30 pagi Khamis lepas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas OKT itu, sembilan biji balutan mampat dalam bentuk “barrel” berisi dadah ditemui disembunyikan di seluar dalamnya, selain dia juga dipercayai menelan sejumlah dadah ketika berada di mahkamah.

“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan membuat lima serbuan di sekitar bandar raya ini dan menahan tiga lelaki, termasuk seorang penjawat awam serta tiga wanita berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata, pihak hospital berjaya mengeluarkan enam biji balutan mampat dalam bentuk “barrel” berisi dadah melalui pembedahan ke atas OKT.

“Selain itu, kita turut merampas 44.74g ganja bernilai RM2,237, syabu seberat 28.84g bernilai RM2,884 serta wang tunai berjumlah RM3,800.

“Modus operandi adalah menelan dadah yang dibungkus dalam bentuk ‘barrel’ dan dibawa masuk ke dalam penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan.”

Beliau berkata, semuanya direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Kamarul berkata, mulai 1 Jan hingga Ahad lepas, JSJN Johor menahan 14,175 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas 4.25 tan metrik dadah bernilai RM14.15 juta serta menyita harta sindiket dadah bernilai RM10.95 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.