Banjir: Selangor sumbang RM1 juta untuk Kelantan, Terengganu

Banjir: Selangor sumbang RM1 juta untuk Kelantan, Terengganu

Kerajaan negeri turut membatalkan sambutan ambang Tahun Baharu sebagai menghormati mangsa dan keluarga terkesan banjir dan tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan lebih 55,000 mangsa dipindahkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor menyumbangkan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang sedang berdepan banjir.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata dua negeri Pantai Timur itu masing-masing akan menerima RM500,000 selain pihaknya sedia menggerakkan bantuan kemanusiaan.

“Selangor bersimpati dengan nasib menimpa rakyat negeri yang dilanda musibah banjir,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, Selangor juga akan membatalkan sambutan ambang Tahun Baharu sebagai menghormati mangsa dan keluarga terkesan banjir dan tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat pagi tadi membabitkan 37,792 berbanding 26,494 orang malam tadi. Mangsa ditempatkan di 310 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lapan daerah.

Di Kelantan, jumlah mangsa dipindahkan meningkat 17,326 pagi tadi, berbanding 14,359 malam tadi. Sejumlah 106 PPS dibuka.

Banjir turut dilaporkan melanda Pahang dan Johor masing-masing membabitkan 934 dan 53 mangsa sehingga pagi tadi.

Setakat ini, jumlah maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Jumaat lalu kekal 24 mangsa, 61 terselamat dengan sembilan masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.