Usul undi percaya ‘gimik’ semata-mata, kata Hamzah

Usul undi percaya ‘gimik’ semata-mata, kata Hamzah

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata undi percaya terhadap Anwar Ibrahim gimik kerana komponen kerajaan mempunyai suatu perjanjian.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa Perjanjian Persefahaman Kerjasama memudaratkan demokrasi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menganggap usul undi percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri “gimik” kerana komponen kerajaan perpaduan sudah menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama.

Hamzah (PN-Larut) mendakwa perjanjian itu memudaratkan demokrasi kerana ia memerlukan Ahli Parlimen perpaduan “undi hanya satu cara”.

“Usul ini gimik semata-mata, apatah lagi ia dilakukan selepas satu perjanjian ditandatangani oleh semua pemimpin gabungan parti yang menyokong kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Hamzah berkata perjanjian itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia “mengambil” kebebasan bercakap dan mengundi di Parlimen, lantas tidak dibenarkan undang-undang.

“Ada ramai yang menolak dan tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut.”

Pada Jumaat lalu, lima pemimpin gabungan dan parti dalam kerajaan perpaduan menandatangani surat perjanjian untuk menyokong Anwar.

Ia ditandatangani oleh Anwar sebagai pengerusi Pakatan Harapan, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Abang Johari Openg; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Noor; dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Perdana menteri berkata, perjanjian itu bagi memastikan kestabilan kerajaan bagi membolehkan ia fokus kepada tadbir urus yang baik dan meningkatkan ekonomi.

Anwar juga yakin kerajaan yang ditubuhkan ini akan kekal hingga tamat penggal iaitu selama lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.