Tanah runtuh: Semua 24 mayat mangsa sudah dituntut waris

Tanah runtuh: Semua 24 mayat mangsa sudah dituntut waris

Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata tiga mayat terakhir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) telah dituntut warisnya, malam tadi.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali hari ini untuk mengesan sembilan mangsa yang masih hilang.
PETALING JAYA:
Kesemua 24 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong, Jumaat lalu, sudah dituntut waris masing-masing.

Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, tiga mayat terakhir yang ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) telah dituntut warisnya, malam tadi.

“Mangsa yang juga pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun diserahkan kepada warisnya kira-kira jam 9 malam,” Berita Harian melaporkan.

Kejadian kira-kira 2.42 pagi itu mengorbankan 24 orang daripada keseluruhan 94 mangsa, manakala 61 berjaya diselamatkan.

Semua mayat dihantar ke HSB untuk proses pengecaman dan bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian.

Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan sembilan mangsa yang masih hilang.

Sementara itu, puluhan petugas media masih menunggu di HSB bagi melaporkan perkembangan terkini dan setakat ini belum ada sebarang mangsa baharu dibawa ke Jabatan Forensik HSB.

Ia berikutan operasi SAR yang dijalankan di lokasi kejadian, semalam gagal menemukan mangsa baharu sebelum disambung semula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.