
Beliau turut mempertikaikan ucapan Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof, kerana menyebut Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu ketika membentangkan usul itu.
Terdahulu, Fadillah (GPS-Petra Jaya) dalam ucapannya berkata Anwar (PH-Tambun) harus diberi kepercayaan untuk menjadi perdana menteri kerana pelantikan beliau mendapat izin Agong dan raja-raja Melayu.
Shahidan bagaimanapun berkata Peraturan Majlis Mesyuarat 36(7) tidak membolehkan nama Agong, raja-raja Melayu, atau Yang di-Pertua Negeri digunakan bagi mempengaruhi majlis mesyuarat.
Speaker Johari Abdul bagaimanapun berkata Fadillah sekadar menyatakan fakta.
Shahidan juga mempertikaikan keperluan usul itu, memandangkan Anwar sudah pun mengangkat sumpah perdana menteri.
“Kalau dah absah kenapa nak bawa ke majlis (Dewan Rakyat) lagi? Kalau dah jadi perdana menteri tak perlu absahkan lagi,” kata wakil rakyat PN itu.
Sany Hamzan bangun untuk menjawab, dan berkata pemerintah sekarang berani menguji sokongan berbanding perdana menteri ke-8.
“PM8 dulu tak berani bawa, kenakan darurat. Tak berani!” katanya.
Beliau merujuk kepada Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh). Sebelum ini beberapa wakil rakyat cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau ketika itu namun tidak pernah dibentangkan.
Selepas hujahnya dijawab Sany, Shahidan mencabar wakil rakyat PH yang sedang berkerusi roda itu bangun apabila bercakap, lalu berkata: “Orang yang baru keluar hospital ni masalahnya.”
Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov, mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang.
Ia merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 2, PBM 1, dan Bebas 1 kerusi.
Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang merupakan blok pembangkang.