Lelaki mengaku salah miliki pornografi kanak-kanak, didenda RM800

Lelaki mengaku salah miliki pornografi kanak-kanak, didenda RM800

Ahli perniagaan itu mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Klang.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada minggu lalu kerana memiliki “sejumlah besar” bahan pornografi kanak-kanak di komputer ribanya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun yang ditahan pada minggu lalu kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak di komputer ribanya, didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Menurut peguam tertuduh, Royston Tan, Majisteret Amirul Asyraf Abdul Rasid mengenakan denda itu selepas lelaki itu mengaku bersalah selepas didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen itu, sesiapa yang didapati menjual, menyewa, mengedarkan, menayangkan atau memiliki bahan lucah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-dua sekali sekiranya didapati bersalah.

“Dia didakwa di mahkamah hari ini dan mengaku bersalah. Dia diarahkan membayar denda RM800 selepas merayu,” kata Tan kepada FMT.

Pada Khamis lalu, Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin berkata lelaki itu ditangkap kerana memiliki “sejumlah besar” pornografi kanak-kanak di komputer ribanya.

Katanya, tangkapan itu susulan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, dan menambh lelaki itu menggunakan media sosial untuk berkomunikasi dengan mangsanya dan memaksa mereka memberikan bahan pronografi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.