Dewan Rakyat rakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh

Dewan Rakyat rakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Johari Abdul menzahirkan kesedihan dengan insiden yang mengorbankan nyawa itu selepas mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh, di Batang Kali, Selangor, Jumaat lalu.

Johari Abdul dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu menzahirkan kesedihan dengan insiden yang mengorbankan nyawa itu.

“Saya berharap agar keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dengan dugaan ini. Saya bagi pihak Ahli-Ahli Dewan (Dewan Rakyat) dan pihak Parlimen sesungguhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat terutamanya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan.

Johari kemudiannya meminta semua Ahli Parlimen berdiri dengan yang beragama Islam menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah, manakala bukan beragama Islam bertafakur selama seminit.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.