Bekas ADUN Simpang Empat dilantik speaker DUN Perlis

Bekas ADUN Simpang Empat dilantik speaker DUN Perlis

Usul melantik Rus’sele Eizan dikemukakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli pada sidang DUN Perlis hari ini.

Rus’sele Eizan dilantik speaker Perlis baharu DUN Perlis hari ini. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis Rus’sele Eizan mengangkat sumpah sebagai speaker DUN yang baharu berkuat kuasa hari ini pada Persidangan Pertama Penggal Pertama DUN Perlis ke-15.

Usul melantik Rus’sele dikemukakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan disokong oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Muhammad Azmir Azizan.

Seramai 15 ADUN Perlis turut mengangkat sumpah pada persidangan hari ini iaitu ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim (Bersatu), Haziq Asyraf Dun (PAS-Beseri), Saad Seman (PAS-Chuping), Wan Badariah Wan Saad (PAS-Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (PAS-Santan), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong).

Marzita Mansor (Bersatu-Sena), Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis), Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang), Megat Hashirat Hassan (Bersatu-Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak(Bersatu-Tambung Tulang), Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji), Razali Saad (PAS-Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang).

Rus’sele, 65, berkata beliau berharap semua ADUN dapat memberikan pandangan bernas dan hujah yang berintegeriti sepanjang persidangan DUN selama empat hari bermula hari ini.

“Saya akan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin atas kepercayaan yang telah diberikan bagi mengendali persidangan dewan.

“Diharapkan semua exco, ADUN dan ketua jabatan dapat bersama membangunkan negeri ini tanpa sebarang perbezaan pendapat demi merealisasikan harapan rakyat khususnya,” katanya.

Pada PRU lalu, Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) hanya menang di Indera Kayangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.