Banjir di Tumpat terburuk dalam tempoh 31 tahun, kata penduduk

Banjir di Tumpat terburuk dalam tempoh 31 tahun, kata penduduk

Penduduk tidak menyangka hujan sejak dua hari lepas menyebabkan paras air naik mendadak dan kediaman mereka dinaiki air melebihi satu meter.

Penduduk Kampung Wakaf Stan meredah banjir untuk ke pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Banjir melanda jajahan Tumpat susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 31 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak.

Penduduk Kampung Menjual, Nur Fatihah Abdul Rahim, 31, berkata beliau tidak menyangka hujan sejak dua hari lepas menyebabkan kediamannya dinaiki air melebihi satu meter.

Kali terakhir ‘banjir besar’ berlaku di kampung berkenaan pada 2014 iaitu ketika ‘bah kuning’, namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.

“Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 31 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air.

“Saya sekeluarga segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, 2 pagi semalam kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Berangan Hujung, Nor Azuralizma Ibrahim @Salleh, 40, berkata dia terkejut dan tidak menyangka air naik dengan begitu cepat dalam tempoh yang singkat.

“Pada 11 malam semalam, saya lihat di luar kawasan rumah telah banjir sehingga mencecah bahu jalan raya, tetapi selang tiga jam kemudian perkarangan rumah saya sudah mencecah hingga paras dada.

“Saya serta suami Mohd Asri Awang, 52, terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Berangan 1 dengan meredah banjir sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan bersama anak untuk menyelamatkan diri dan membawa bersama dokumen penting sahaja,” katanya.

Setakat 1 tengah hari tadi, sebanyak 10 sungai utama di Kelantan telah melepasi paras bahaya membabitkan enam jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.