Tanah runtuh: Polis rekod keterangan pengusaha, pekerja tapak perkhemahan

Tanah runtuh: Polis rekod keterangan pengusaha, pekerja tapak perkhemahan

Individu terbabit terdiri daripada seorang pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan Father's Organic Farm.

Menurut polis, keterangan daripada tiga individu telah direkod tengah hari semalam.
BATANG KALI:
Polis telah merekodkan keterangan seorang pengusaha dan dua pekerja tapak perkhemahan Father’s Organic Farm untuk membantu siasatan insiden tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 2 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata individu terbabit dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, tengah hari semalam.

“Tiga individu dipanggil untuk membantu siasatan.

“Salah seorang daripada mereka ialah pengusaha (Father’s Organic Farm), lelaki Cina berusia 50an dan dua lagi pekerja berusia 30an,” katanya pada sidang media hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Batang Kali di tiga tapak perkhemahan itu setakat ini telah meragut 24 nyawa. Sejumlah 61 orang terselamat daripada insiden itu.

Operasi mencari dan menyelamat sembilan lagi mangsa yang hilang masih diteruskan.

Pada Jumaat, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tiga tapak perkhemahan itu disahkan tidak berlesen.

Pengusahanya berdepan hukuman penjara hingga tiga tahun dengan atau denda RM50,000, jika sabit kesalahan.

Nga mengesahkan bahawa pengusaha dibenarkan membuka ladang organik, tetapi tidak mengemukakan permohonan untuk mendirikan tapak perkhemahan.

Sementara itu, Suffian tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.