Banjir Terengganu makin buruk, penduduk diminta lebih waspada

Banjir Terengganu makin buruk, penduduk diminta lebih waspada

Dalam tempoh 12 jam hanya dua daerah di Terengganu belum dinaiki air.

Penduduk mengharungi banjir untuk ke tempat selamat selepas kampung mereka dilanda banjir semasa tinjauan di Kampung Besut. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Penduduk di kawasan berisiko dan terjejas banjir diminta supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan amaran serta arahan pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat, berkata situasi di Terengganu semakin buruk apabila enam daerah sudah mula dilanda banjir.

Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama jika diminta berpindah.

“Banjir gelombang kedua ini seperti dijangka lebih buruk berbanding gelombang pertama awal bulan ini. Dalam tempoh 12 jam hanya dua daerah iaitu Marang dan Kuala Nerus yang belum dinaiki air.

“Orang ramai perlu lebih berwaspada kerana situasi ini dijangka berterusan hingga 22 Dis susulan ramalan taburan hujan lebat ekstrem yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Setakat ini semua urusan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah berjalan lancar, kata Hanafiah.

Setakat ini semua keperluan termasuk makanan, khemah dan keperluan asas di PPS mencukupi kerana persiapan awal sudah dilakukan sebelum musim Monsun Timur Laut.

“Semua pihak menjalankan tugas dengan cekap, tiada rungutan kami terima daripada mangsa dari segi pemindahan, agihan makanan dan barangan keperluan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.