Tindak balas pantas, undang-undang kunci PH kawal naratif, kata Fahmi

Tindak balas pantas, undang-undang kunci PH kawal naratif, kata Fahmi

Pengarah Komunikasi PH itu berkata Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah memadai bagi mengekang fitnah.

Tindakan segera dan menyeluruh diperlukan bagi memastikan naratif dikawal dari awal untuk mengelakkan kegagalan komunikasi seperti dihadapi selepas PRU14, kata Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan perlu bertindak pantas dan memanfaatkan undang-undang sedia ada bagi memastikan komunikasi PH lebih baik berbanding sebelum ini, kata Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata tindakan kerajaan perlulah segera dan menyeluruh bagi memastikan naratif dapat dikawal dari awal untuk mengelakkan kegagalan komunikasi yang dihadapi mereka sewaktu menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagi memastikan strategi itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin, ketua penerangan PKR itu percaya soal pelantikan menteri dan jawatan-jawatan utama melibatkan komunikasi kerajaan perlu dititikberatkan bagi memastikan tiada lagi sebarang pengkhianatan berlaku dalam kerajaan.

“Sangat penting untuk pastikan mereka yang diamanahkan untuk memegang amanah jawatan menteri atau timbalan menteri itu adalah mengikut keputusan parti,” kata Fahmi ketika dihubungi FMT.

Fahmi memaklumkan kerajaan PH dahulu berhadapan dilema “Kabinet dalam Kabinet” apabila pelantikan jawatan menteri tidak mengikut kehendak parti sehingga menyebabkan berlakunya perkhianatan sehingga berlakunya kejatuhan kerajaan itu pada Februari 2020.

PH sewaktu menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2022 berhadapan kemelut komunikasi apabila menjadi mangsa serangan pihak pembangkang melibatkan isu berkaitan dasar kerajaan dan sentimen perkauman.

Selain itu, beliau berkata Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah memadai bagi mengekang fitnah-fitnah yang dirancang oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia perlu digunakan secara aktif untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang sengaja mewujudkan satu keadaan untuk memecahbelahkan… dan cuba untuk mewujudkan salah faham, dan tohmahan fitnah perpecahan mereka ini perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Pakar komunikasi politik dari Universiti Islam Antarabangsa, Syed Arabi Syed Abdullah Idid berkata pembentukan kerajaan melibatkan pelbagai parti yang ada hari ini ternyata bakal merumitkan PH bagi merancang pelan komunikasi berkesan.

Tambahnya, keadaan itu turut diburukkan dengan pilihan raya kecil yang bakal berlangsung kerana menyebabkan suhu politik semasa di negara ini sukar diredakan.

Sehubungan itu, beliau percaya pada keadaan semasa peranan media massa serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) penting bagi mengatasi keadaan politik semasa.

“Dalam keadaan tiadanya kepimpinan politik (disebabkan jemaah menteri masih belum dilantik), kepimpinan pegawai kerajaan ini penting.

“Penguatkuasaan oleh kerajaan ini perlu menggunakan dasar-dasar sedia ada untuk pegawai kerajaan melaksanakan tugas mereka,” kata Syed Arabi kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.