Tanah runtuh: Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh diselubung pilu

Tanah runtuh: Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh diselubung pilu

Kerana terlalu sedih, seorang lelaki warga emas terpaksa dipimpin ketika menuju ke bilik mayat untuk proses pengecaman mayat.

Lew tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan tentang ahli keluarga yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali.
SUNGAI BULOH:
Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh diselubung pilu, dengan tangisan dan raungan waris mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali.

Kerana terlalu sedih, seorang lelaki warga emas terpaksa dipimpin ketika menuju ke bilik mayat untuk proses pengecaman mayat.

Seorang lagi waris memberitahu pemberita, anak saudaranya dan cucu saudaranya antara mangsa tragedi itu.

“Seorang lelaki dan seorang perempuan sudah tiada, memang ada rasa tidak sedap hati bila mereka kata mahu pergi perkhemahan sebab kita tahu cuaca tidak elok,” kata Lew, 73.

“Tetapi masa itu kita cuma harap mereka ‘okay’ sahaja,” katanya sebelum temu bual terhenti kerana Lew tidak dapat menahan sebak dan terus menuju ke kereta.

Tanah runtuh berlaku pada awal pagi semalam di tiga tapak perkhemahan berhampiran jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Berdasarkan rekod pendaftaran pelawat oleh pengendali tapak khemah, 94 orang didaftar bermalam di situ semasa tanah runtuh di mana 61 orang telah diselamatkan.

Pasukan penyelamat menemui 23 mayat setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.